Al-Quran

6.07.2013


Dalam sebuah halaqah Rasulullah bersama sahabat-sahabat baginda, salah seorang sahabat tersebut, Abdullah Bin 'Umar meriwayatkan ketika mereka duduk di dalam halaqah tersebut, Rasulullah SAW bersabda, tunggulah, salah seorang penghuni syurga akan menyertai kita. Kemudian masuk dan duduklah di dalam halaqah tersebut seorang lelaki yang baru selesai mengambil wudhu'. Hari kedua halaqah tersebut belangsung pun, situasi yang sama berlaku dan sekali lagi berulang pada hari ketiga. Abdullah bin 'Umar pula, disebabkan Rasulullah SAW mengulangi kata-katanya "Seorang penghuni syurga akan menyertai kita" setiap kali halaqah bermula, teringin beliau untuk mengetahui apakah amalan lelaki yang berwudhuk dan kemudiannya menyertai halaqah mereka setiap hari itu. Maka beliaupun mengikuti lelaki tersebut pada hari ketiga tu untuk bermalam di rumah lelaki tersebut. Kebiasaannya, masyarakat Arab akan bermalam di rumah saudara mereka sekitar tiga hari dan tuan rumah juga tidak merasa berat bahkan sangat mengalukan tetamu mereka bermalam di rumah mereka kerana mereka tahu, kedatangan tetamu ke rumah itu satu rahmat. Maka lelaki tadi pun dengan gembiranya membenarkan Abdullah bin 'Umar untuk bermalam di rumahnya. Malam pertama, Abdullah bin 'Umar bangun untuk bertahajjud dan beliau melihat-lihat jika saudaranya tu bangun untuk bertahajjud atau tilawah. Tetapi Abdullah bin 'Umar hanya melihat saudaranya itu bangun untuk solat Subuh berjemaah sahaja. Hari kedua dan ketiga bermalam di rumah saudaranya itu, perkara yang sama juga dilihat oleh Abdullah bin 'Umair ke atas saudaranya, hanya bangun untuk solat Subuh berjamaah tanpa diawali dengan tahajjud atau tilawah. Hairan benar Abdullah bin 'Umar, mengapa lelaki ini dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai penghuni syurga sedangkan amalannya hanya biasa-biasa. Di hari terakhir, ketika ingin pulang dari bermalam di rumah saudaranya itu, Abdullah bin 'Umar dengan perasaan ingin tahu yang teramat sangat pun bertanya kepada saudaranya tu; "Ketika kami duduk dalam halaqah sebelum kedatanganmu, Rasulullah SAW mengatakan akan ada seorang penghuni syurga akan bersama kita sebentar lagi. Dan aku tidak menemukan seseorang melainkan engkau yang datang sesudah itu. Akan tetapi, kulihat amalanmu hanya biasa-biasa, engkau hanya bangun solat Subuh tanpa tahajjud atau tilawah. Apakah amalanmu sehingga Rasulullah mengatakan sedemikian rupa?" Lelaki itu kemudiannya tersenyum dan menjawab; "Aku hanya melakukan amalan-amalan fardhu dan menjaganya. Aku akan bangun tahajjud jika aku mampu melakukannya. Aku akan membaca Al-Quran jika aku mampu. Namun amalan yang aku tidak tinggalkan setiap hari sebelum tidur adalah, AKU AKAN BERISTIGHFAR KEPADA ALLAH DAN MEMAAFKAN SEMUA KESALAHAN ORANG LAIN setiap hari sebelum aku tidur!!!"

;;